JOM LAYAN

Ahad, 16 Oktober 2011

SKMM PERUNTUK 18,500 NETBOOK

SKMM peruntuk 18,500 netbook
CHUPING - Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan sebanyak 18,500 unit netbook untuk disumbangakn kepada golongan muda terutama pelajar yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Sumbangan netbook itu merupakan tanda keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam memastikan pelajar terutamanya daripada masyarakat Felda, memperoleh pengetahuan yang lebih luas melalui perkhidmatan jalur lebar.

Pengarah SKMM Wilayah Utara , Mohd Hussin Ali berkata, sebanyak 1,500 unit netbook diperuntukkan bagi negeri Perlis.

Menurutya, netbook itu merupakan sumbangan SKMM kepada Pusat Jalur Lebar Komuniti yang disediakan di setiap kawasan Felda yang terdapat di negeri ini.
“Bagi fasa pertama, kita memilih seramai 300 anak peneroka Felda yang kurang berkemampuan untuk menerima sumbangan netbook 1Malaysia.
“Malah, kita turut memperuntukkan sebanyak 8 000 unit netbook bagi fasa kedua yang akan bermula sebelum bulan September kelak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Komputer Netbook 1Malaysia dan Pelancaran Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di Felda Chuping, di sini.

Sumbangan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Mansor Jusoh, Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi, Sabry Ahmad dan Naib Presiden Celcom Mobile Sdn Bhd Wilayah Utara, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar.

Dr Md Isa turut menasihati ibu bapa agar memantau setiap aktiviti anak mereka supaya tidak menyalahgunakan perkhidmatan jalur lebar itu dengan melayari laman web berunsur negatif.

“Masyarakat Felda terutama bagi pelajar yang menerima sumbangan netbook pada hari ini seharusnya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kita kerana memberikan peruntukan yang begitu besar dalam memastikan masyarakat Felda tidak terlepas dari perkembangan isu semasa dan teknologi.

“Malah, Felda yang sudah dianggap sebagai anak emas Perdana Menteri seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat lain dalam menjadikan PJK sebagai pusat maklumat dan pembelajaran yang mampu membantu golongan peneroka meningkatkan taraf produk jenama Malaysia antarabangsa melalui Internet, “ katanya.

Dr Md Isa berkata, pemberian netbook kepada anak sama ada di bandar atau di luar bandar adalah untuk memudahkan mereka mendapatkan pengetahuan dan mengurangkan penggunaan kertas untuk pembelajaran.
( Di petik dari akhbar SINAR HARIAN 12 Ogos 2010 edisi UTARA)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan